Tuesday 25 June 2013

Sejarah Penubuhan Yayasan Darul Hanan (YDH)

Selehor adalah sebuah kampung di mukim Sungai Pinang dalam daerah Tumpat Kelantan. Jaraknya dengan bandar Kota Bharu kira-kira 12 km. Pelawat daripada Kota Bharu yang bercadang menziarah Selehor terpaksa melintasi pekan Wakaf Bharu,Kampung Laut dan Kok Keli, kemudiannya baru tiba ke Selehor.

Suatu masa dulu kampung Selehor adalah antara kampung tersohor di Kelantan, kerana adanya sebuah sekolah sistem pondok yang dipimpin oleh al-Marhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Othman (1871-1935) yang dikenali ramai dengan nama Tok Selehor. Sekolah pondok didatangi oleh ramai murid dari seluruh negara termasuk juga dari Thailand,Sumatera dan Kemboja. Orang kampung sekeliling juga berkumpul di situ pada setiap hari Selasa untuk mendengar pengajian umum yang disampaikan oleh Tok Selehor.

Sekarang ini pengajian agama menurut sistem sekolah pondok sudah tidak mendapat tempat lagi. di atas keruntuhan itu cucu-cucu dan waris al-Marhum Tok Selehor bermuafakat setuju mendirikan rumah-rumah kecil berbentuk pondok untuk ditempatkan warga tua yang tidak berwaris di atas tapak pondok Tok Selehor itu.

Antara tujuannya:-
  • Membantu warga tua yang tidak berwaris 
  • Memanfaatkan masa lapang mereka dengan aktiviti agama
  • Memberi sokongan emosi dan kauseling
  • Mengukuhkan kegiatan beribadah, riadah dan rekreasi
  • Menanamkan rasa ehsan dan perihatin masyarakat kepada warga tua.
Ternyata usaha kebajikan ini mendapat sokongan ramai, khususnya murid kelas-kelas agama pimpinan Datin Nik Nooraini Yahya (isteri pengasas YDH). Banyaklah bantuan dan derma yang diterima daripada mereka. Maka dirasai ianya perlu diperbesar dan diperindahkan lagi sebagaimana yang ada sekarang.

Anak-Anak Yatim Dan Miskin

Di Kelantan ini ramai anak yatim dan anak-anak miskin. Mereka ini tinggal dengan penuh daif bersama ibu atau datuk atau keluarga terdekat. Bahkan ada yang tidak berkeluarga langsung dan hidup mereka terbiar. Mereka ini dapat dikesan dengan kerjasama erat YDH dengan pihak sekolah.

Sehingga hari ini lebih 2000 anak yatim dan miskin telah dan pernah menerima bantuan dari YDH sejak ditubuhkan. Sekarang seiring dengan peredaran zaman pihak YDH menggelarkan mereka sebagai ANAK PINTAR TUMPAT(APT). Pihak YDH hanya menerima anak-anak yatim yang cemerlang akademik yang mana pemilihan pertama dibuat diperingkat sekolah masing-masing  melalui guru pemantau sebelum diserapkan dalam kumpulan APT.Buat masa ini jumlah APT yang masih menerima bantuan bulan dibawah YDH adalah 150 orang. Setiap tiga bulan sekali pihak YDH akan mengumpulkan mereka di Pondok Tok Selehor bagi mengagihkan bantuan bulanan beserta membuat pemantauan tahap pembelajaran masing-masing.APT mempunyai page sendiri : https://www.facebook.com/pages/Anak-Pintar-Tumpat/375372755868846


YDH bermula pada 17 November 1999 setelah didaftarkan sebagai sebuah yayasan dengan nama Yayasan Darul Hanan. Nombor pendaftarannya 499140-P. Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memberi kelulusan pelepasan cukai kepada penderma kepada YDH di bawah seksyen 44(6) Akta Cukai  Pendapatan 1967 berkuatkuasa mulai 15 Oktober 2000. Ruj LHDN 01/35/42/51/1976.4986

Pengasas Yayasan Darul Hanan
Dato Dusuki Bin Ahmad


Pengerusi Yayasan Darul Hanan
Dr Asyraf Wajdi Bin Dusuki
                           
Anggota Pemegang Amanah YDH
Datin Nik Nooraini Binti Yahya

No comments:

Post a Comment